Durian runtuh daripada Kerajaan Sarawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju memberi insentif sebanyak RM500 kepada 95,000 kakitangan Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, insentif berkenaan akan dibayar pada Jun tahun depan sebagai tambahan kepada pemberian RM500 oleh Kerajaan Persekutuan kepada kakitangannya di seluruh
negara.

“Saya difahamkan 95,000 penjawat awam Persekutuan berkhidmat di Sarawak yang kebanyakannya terdiri daripada guru, pegawai kesihatan, polis dan sebagainya.

“Malah, mereka juga berkhidmat di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu pengumuman secara spontan selepas merasmikan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sara-wak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini,
semalam.

Menurut Abang Johari, insentif berkenaan sebagai penghargaan kepada kakitangan Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.

“Sebagai menghargai perkhidmatan awam Persekutuan, sayatelah berbincang dengan ahli kabinet yang hadir dan membuat keputusan untuk menambah bantuan kewangan kepada seluruh Perkhidmatan Awam Negeri Sa
rawak.

“Oleh itu, kami bersetuju memberi insentif RM500 sebagai tambahan RM500 daripada Kerajaan Persekutuan yang menjadikan bantuan diterima oleh penjawat awam Persekutuan di Sarawak berjumlah RM1,000,” jelasnya.

Pengumuman berkenaan mendapat sorakan gemuruh daripada 5,000 penjawat awam yang hadir
pada majlis itu.

Tambah Ketua Menteri, oleh kerana perkara itu baru diumumkan, maka ia mengambil masa untuk pembayarannya.
“Pembayaran insentif ini baru sahaja diumumkan dan ia mengambil masa.

“Kami akan bayar kepada penjawat awam yang terlibat pada Jun tahun depan,” ujarnya.

Mengikut pengiraan, Kerajaan Sarawak dianggarkan berbelanja RM47.50 juta untuk membayar insentif terbabit kepada kakitangan Kerajaan Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini.

Terdahulu, dalam pembentangan Belanjawan Sarawak 2020, Ketua Menteri mengumumkan pemberian bonus dua bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada 16,000 penjawat awam negeri ini.

Pembayaran bonus berkenaan akan dibuat pada 18 Disember ini sebagai tanda Kerajaan Sarawak menghargai kakitangannya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Jaul Samion, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pem-
bangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Micheal Manyin Jawong.

Suara Sarawak