KUCHING: Durian runtuh bakal menanti jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin selepas meraih pingat emas pertama di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, hari ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, baru-baru ini Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ada mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memberi insentif kepada atlet negeri ini yang berjaya meraih pingat di kejohanan empat tahun sekali itu.
“Ketua Menteri secara rasmi mengesahkan akan memberi insentif kepada atlet para Sarawak yang memenangi pingat dalam temasya itu pada pertemuan secara virtual ketika mereka masih dalam sesi latihan di Kuala Lumpur,” katanya.
Ujarnya, hasil pertemuan itu telah meningkatkan motivasi para atlet negeri ini apabila mempamerkan aksi terbaik menjelang kejohanan.
Fatimah juga mendedahkan Kerajaan Sarawak turut menyumbangkan sedikit bantuan sebagai bekalan perbelanjaan atlet para Sarawak sepanjang penglibatan mereka di Tokyo.