E-sukan asah bakat pelajar

E-SUKAN yang akan diperkenal dalam Sukan Asia Tenggara 2019 semakin diminati ramai belia dan pelajar di Malaysia, termasuk, Sarawak.

Demikian kata Timbalan Presiden Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA), Eugene Lai.

“Tujuan kita memperkenalkan HSEC adalah untuk menyediakan satu platform kepada pelajar sekolah yang berminat dalam bidang ini.

“Ia juga memberi peluang kepada mereka mengasah bakat untuk menjadi atlet dalam bidang E-Sukan,” katanya.

“HSEC juga ditubuhkan untuk menyatukan tabiat bermain sukan elektronik yang baik dalam dalam kalangan pelajar,” katanya.

SESA telah menganjurkan peng aktifan pertama Kelab E-Sukan Sekolah Tinggi di Sarawak (HSEC) di SMK Batu Lintang, baru-baru ini.

Menurut Pengetua SMK Batu Lintang, Bahtiar Afandi, PIBG sekolah itu telah bekerjasama dengan SESA untuk memberikan pendedahan kepada ibu bapa bahawa E-Sukan juga mampu memberikan produktiviti kepada para pelajar jika dioptimumkan sepenuhnya.

CENDERAHATI… Eugene (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Bahtiar (tengah) dan Lee.

“Di luar sana, E-Sukan sudah semakin berkembang dan impak positif kepada orang ramai mulai dilihat.

“Jika kita tidak menggunakan peluang ini, maka kita akan ketinggalan,” ujarnya.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Lee Kiat Ming.

Dalam sesi pengaktifan tersebut yang diadakan serentak dengan Hari Terbuka SMK Batu Lintang, pelbagai aktiviti E-Sukan yang menarik seperti pertandingan Mobile Legend, Tekken 7 dan Realiti Visual (VR) telah dianjurkan.

Difahamkan lebih seratus peserta telah terlibat dalam aktiviti tersebut yang berlangsung di Dewan Sri Lintang semalam.

Bagi perkembangan E-Sukan di Malaysia pula, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq telah mengumumkan bahawa E-sukan akan diperkenalkan buat kali pertama dalam Sukma 2020 di Johor.

Kerajaan Sarawak juga mengiktiraf sukan ini apabila Menteri Pelancongan, Seni Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Hamzah mengumumkan E-Sukan akan dipertandingkan dalam Sukan Sarawak (Suksar) pada Disember tahun ini.