E-Sukan Kenyalang, RM25,000 jadi rebutan

SEBANYAK 178 pasukan dan 634 pemain bakal bersaing merebut habuan RM25,000 dalam Kejohanan E-Sukan Kenyalang 2020 pada 4 April hingga 5 April depan di Pusat Beli Belah Riverside Kuching.

Acara yang berlangsung dua hari itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu Dota 2 (32 pasukan), FIFA 2020 (64 individu), Mobile Legends (32 pasukan) dan permainan dalam talian PUBG (50 pasukan).

Untuk kategori PUBG, pemenang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,300. Manakala tempat kedua hingga kelima akan membawa pulang wang tunai RM2,300, RM1,300, RM1,100 dan RM800.

Bagi kategori Dota 2 pula, pemenang akan membawa wang tunai RM2,000, tempat kedua RM1,350 dan tempat ketiga RM850. Manakala dua hadiah sagu hati tempat keempat dan kelima akan membawa pulang wang tunai RM500.

Selain itu, kategori Mobile Legends pemenang akan membawa balik wang tunai RM2,000. Sementara itu, tempat kedua dan ketiga akan membawa pulang wang tunai RM1,300 dan RM850 serta hadiah saguhati tempat keempat dan kelima RM500.

Selain itu, pemenang kategori FIFA 2020 akan membawa balik wang tunai RM900, tempat kedua RM550, tempat ketiga RM300 dan hadiah saguhati tempat ke-empat dan kelima RM200.

Pendaftaran akan dibuka pada 3 Mac hingga 30 Mac ini dan yuran bagi kategori PUBG dan Dota 2 hanya RM100 untuk setiap pasukan. Sementara itu, untuk kategori Mobile Legends ialah RM60 setiap pasukan dan kategori individu FIFA, RM30 seorang.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Seri Abdul Aziz Husain berkata, kerjasama strategik antara Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) telah bersetuju menganjurkan kejohanan e-sukan tahun ini.

“Kejohanan e-sukan ini bertujuan untuk mempromosikan pembangunan bakat dalam kalangan peminat sukan elektronik dengan menyokong pemain berbakat, pelapis, kastrol, marshal dan pengadil yang terdiri daripada pelbagai kumpulan umur dan latar belakang.

“Kita akan adakan program untuk memupuk bakat pemain dalam mencapai tahap piawaian antarabangsa apabila kemahiran mereka diiktiraf dalam dunia digital serta berpotensi menjana pendapatan melalui e-sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kejohanan E-Sukan Kenyalang 2020 di Hotel Riverside Majestic, semalam.

Tambah beliau, Inisiatif itu juga sejajar dengan Strategik Ekonomi Digital Sarawak 2018-2025 (Sosial: Tindakan 27), Kerajaan Sarawak melalui SMA berupaya meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat Sarawak iaitu memupuk permainan pembangunan, e-sukan, pemasaran dan sains sukan.

Aziz turut menyeru semua ibu bapa memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk menyertai Kejohanan E-Sukan Kenyalang 2020.

Suara Sarawak