E-sukan: Sarawak diperkasakan

PERSATUAN Sukan Elektronik Sarawak (SESA) telah mendapat kelulusan dana bantuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pembangunan pusat fasiliti Racing Simulator yang pertama di Sarawak.

Racing simulator adalah istilah kolektif untuk perisian komputer yang cuba mensimulasikan perlumbaan automatik secara tepat, lengkap dengan pemboleh ubah dunia nyata (real-world variables) seperti penggunaan bahan bakar, kerosakan, kehausan dan cengkaman tayar, dan tetapan penggantungan.

Untuk berdaya saing dalam perlumbaan simulator, pemandu mesti memahami semua aspek pengendalian kereta yang menjadikan perlumbaan itu seakan-akan perlumbaan yang nyata.

Ia memerlukan kemahiran seperti cara mengawal brek, cara mengekalkan kawalan kereta, memahami kondisi kereta ketika perlumbaan, cara mengekalkan kelajuan sewaktu selekoh dan banyak lagi.

Tahap kesukaran inilah yang memberi pengalaman yang sebenar kepada pelumba yang meminati sukan ini dan objektif utamanya adalah untuk mewujudkan rasa kepantasan dan rasa realisme.

Tujuan perancangan fasiliti ini adalah bagi merancakkan lagi pembangunan sukan elektronik di Sarawak melalui platform yang berbeza dan melahirkan lebih ramai bakat-bakat muda dalam bidang permotoran melalui simulator racing.

Presiden SESA, Afiq Fadhli Narawi berkata, pihaknya telah menghantar kertas kerja kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan telah mendapat kelulusan dana untuk pembangunan fasiliti Racing Simulator.

Menurut Afiq, SESA akan bekerjasama dengan rakan teknologi iaitu Serba Dinamik Holdings Berhad menerusi MoU untuk merealisasikan pembangunan ini.

“Kita telah mengenal pasti kawasan yang strategik, antaranya Kubah Ria Commercial Complex, Kuching,” ujarnya menerusi kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu.

Mengulas mengenai Racing Simulator, Afiq menambah, dengan pengembangan perlumbaan dalam talian atau racing simulator, kemampuan untuk bertanding melawan manusia berbanding komputer AI adalah yang paling dekat dengan banyak orang yang akan memandu kereta sebenar di landasan sebenar.

Malah katanya, mereka yang berlumba dalam persaingan dunia nyata menggunakan simulasi untuk latihan atau hiburan.

“Kita juga berpeluang melahirkan bakat-bakat di Sarawak yang berminat dalam perlumbaan kereta melalui Racing Simulator ini.

“Secara amnya, terdapat beberapa aplikasi perlumbaan racing simulator, seperti rFactor, Grand Prix Legends, NASCAR Racing, Race 07, F1 Challenge ’99 –’02, F1 ’18, Assetto Corsa, GTR 2, Project CARS, iRacing, Race Room dan Richard Burns Rally yang sering dimainkan oleh penggemar Racing Sim,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak