KUCHING: Orang ramai dipelawa menyertai majlis makan malam pengumpulan dana ‘Eat for a Purpose’ untuk memperingati perjalanan luar biasa selama 10 tahun SOS Kids.
Presiden SOS Kids, Constance Leong Chui Man berkata majlis itu akan diadakan selama tujuh hari bermula 31 Ogos, 1 hingga 3 September dan 8 hingga 10 September depan, bermula jam 7 malam di Ocho by Kyujin di Saradise.
Menurutnya, acara eksklusif itu bukan hanya menandakan satu dekad dalam usaha pihaknya mengubah hidup kanak-kanak yang sakit kritikal, malah memberikan peluang unik untuk menyumbang kepada masa depan dan kesejahteraan mereka.
“Misi kami adalah dwitujuan iaitu mengumpul dana yang akan menyokong kerja luar biasa SOS Kids dan turut bersukacita dalam perubahan positif yang mereka bawa kepada banyak kehidupan kanak-kanak dan keluarga mereka,” katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.
Menjelas lanjut, Constance berkata makan malam itu diaturkan oleh Chef Achang Libat, SOS Kids dan disokong oleh Ocho by Kyujin.
Beliau menambah dana yang terkumpul menerusi acara itu akan membolehkan SOS Kids untuk meneruskan kerja penting mereka, menyediakan perkhidmatan sokongan perubatan, ruang hidup yang lebih baik dan memberi harapan kepada kanak-kanak untuk masa depan yang lebih cerah.
“Dengan menyertai ‘Eat for a Purpose’, anda menjadi rakan sekutu dalam membentuk impak bagi dekad seterusnya untuk SOS Kids.
“Setiap suapan yang anda ambil dan setiap sumbangan yang anda buat akan menyumbang secara langsung kepada kisah-kisah kejayaan yang akan datang, memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat sokongan dan perkhidmatan yang mereka perlukan,” katanya.
Untuk mengesahkan tempat dalam makan malam yang bermakna itu dan meraikan ulang tahun ke-10 SOS Kids, lawati laman Facebook dan Instagram @chefachanglibat atau hubungi See Bee di 0123892686.
Ditubuhkan pada tahun 2013, SOS Kids berusaha untuk membantu kanak-kanak yang menghadapi penyakit yang mengancam nyawa atau telah selamat daripada penyakit tersebut, dan juga keluarga mereka dalam menghadapi keadaan perubatan dan memenuhi keperluan perubatan mereka dalam perjalanan pemulihan yang panjang.
Selain itu, SOS Kids juga bertujuan meningkatkan kepakaran klinikal dalam merawat kanak-kanak yang sakit kritikal dalam kalangan pekerja kesihatan melalui aktiviti pendidikan perubatan berterusan.
Setelah mengetahui keperluan hospital dari segi peralatan perubatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) dan wad umum, SOS Kids berjaya mengumpulkan dana melalui aktiviti pendidikan perubatan berterusan bagi pekerja kesihatan antara Januari 2016 dan Ogos 2017 untuk memperoleh peralatan tersebut bagi hospital.
Melalui dana yang dikumpul, SOS Kids berjaya menyumbangkan sebuah almari pengering (bernilai lebih kurang RM35,000) dan 10 almari katil (bernilai RM6,800) kepada PICU dan Wad Umum Kanak-Kanak di Hospital Umum Sarawak pada 17 Ogos 2017 untuk membantu meningkatkan perkhidmatan klinikal PICU di hospital itu.