KUCHING: Sepasang bekas suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine.
Tertuduh Awang, 36, dan Asnur, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan bersama di hadapan Hakim Dr Alwi Abdul Wahab.

Pengakuan tidak bersalah itu merupakan kali pertama didengar selepas kes tersebut dibenar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama dalam aktiviti mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 55.70 gram di sebuah rumah beralamatkan Kampung Jaya Bakti, Jalan Kubah Matang, sekitar jam 10.30 pagi, 29 November 2021.
Oleh itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan membawa kepada hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tertuduh tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.
Mahkamah kemudian, memerintahkan kedua-dua tertuduh ditahan reman sehingga sebutan semula bagi pengurusan kes pada 5 April depan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj manakala tertuduh diwakili seorang Peguam Christopher Bada.