EKONOMI DIGITAL S’WAK: Pada landasan betul

KUCHING: Sarawak kini berada pada landasan yang cukup membanggakan dari aspek ekonomi digital, seperti dimulakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kata Pengurus Besar Centexs Commercial, Mohamad Shahren Mohamad Yusri.
Menurutnya, inisiatif ini mampu membawa negeri ke persada yang cukup membanggakan, baik peringkat dalam negara mahupun antarabangsa.
“Sebagai contoh, Centexs Commercial kini mempunyai produk yang dikenali sebagai Smart Home iaitu sistem pintar dengan perintah suara Google yang dibuat untuk menyahut seruan Ketua Menteri dalam peringkat ekonomi digital.
“Ia juga boleh dikatakan sebagai produk ekonomi digital, kerana dapat memperkasa ekonomi di Sarawak yang kini menuju ke arah pendigitalan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena ulang tahun keempat Abang Johari sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam.
Menurutnya, setiap tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Sarawak sangat baik dengan inisiatif yang telah disediakan.
Selaras dengan aspirasi Abang Johari, Centexs Commercial mengambil bahagian memperkasa ekonomi digital dengan mewujudkan produk berkaitan teknologi digital.
“Ketua Menteri merupakan seorang yang berpandangan ke depan kerana meng-utamakan keperluan dan kehendak yang diperlukan untuk masa hadapan.
“Jadi, inilah masa tepat menggalakkan masyarakat iaitu rakyat Sarawak melibatkan diri dalam ekonomi digital, sekali gus merancakkan ekonomi di negeri ini,” ujarnya lagi.
Shahren juga mengatakan kewujudan Centexs bukan sahaja merupakan pusat latihan teknikal, malah organisasi tersebut turut mewujudkan ekosistem digital pada masa yang sama.
Selain itu, beliau turut berkata, inisiatif ekonomi digital yang dimulakan oleh Kerajaan Sarawak dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak terutama kewujudan ekonomi digital sedia ada.
Tindakan ini, secara tidak langsung memberi peluang dan juga ruang untuk rakyat meningkatkan taraf hidup mereka agar dapat menjana pendapatan melalui teknologi yang diwujudkan.
“Kita sedia maklum bahawa Sarawak kini berada di landasan yang tepat dan kita harap dalam masa 10 tahun lagi, negeri ini mampu berada pada satu tahap dengan semua kemudahan, infrastruktur dan teknologi yang telah lama wujud di negara maju juga sudah ada di sini (Sarawak),” kata Shahren.