Ekonomi gig evolusi era teknologi

EKONOMI gig mula mendapat perhatian kerana evolusi era teknologi dewasa ini.

Kemunculan syarikat start-up yang berasaskan ekonomi bersama (sharing economy) seperti Grab, Food Panda dan sebagainya membuka peluang kepada orang ramai untuk memperoleh pendapatan sampingan.

Secara ringkas, ekonomi gig ialah pasaran buruh bercirikan kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu. Ia dipacu oleh persekitaran digital, dan kesediaan aplikasi yang secara langsung menyampaikan maklumat dan peluang untuk bekerja.

Justeru ekonomi gig hari ini hampir sama dengan kerja bebas yang semua orang tahu mengenai kesan positif dan negatifnya dan yang menawarkan peluang serta ketidaktentuan, semuanya pada masa yang sama.

Jadi, apa yang menyebabkan anak muda hari ini lebih gemar dengan konsep ekonomi gig? Golongan muda terutamanya sangat tertarik dengan ekonomi gig kerana mereka tidak terikat dengan peraturan yang ketat, mempunyai kebebasan menyusun masa mereka sendiri serta berpeluang menjana pendapatan melebihi gaji mereka sekiranya mereka bekerja.

Antara perbezaa ketara ekonomi gig dan pekerjaan tradisional adalah waktu kerja yang lebih fleksibel, pendapatan yang tidak tetap dan tiada had, tiada manfaat daripada majikan seperti insuran kesihatan dan tempat bekerja adalah bebas.

Dewasa ini, semua golongan muda meliputi profesional muda, siswazah baharu, mendapat kerja (pekerjaan apa pun), untuk sara hidup melalui ekonomi gig.

Menurut Bank Dunia, lebih kurang 26% populasi pekerja di Malaysia adalah mereka yang berkerja sendiri (self-employed) dan bilangan ini terus meningkat kerana semakin ramai pekerja hari ini gemar memilih perkerjaan yang lebih fleksibel.

Semenjak 2010, pekerja sendiri merangkumi 12% daripada pekerjaan bandar dan angka tersebut meingkat kepada 16% pada tahun 2016, bersamaan 1.7 juta orang dan peningkatan 760,000 orang semenjak 2010.

Di samping itu, ekonomi gig turut memberi kelebihan kepada majikan di mana mereka dapat menjimatkan wang daripada membayar manfaat pekerja.

Jika sesebuah syarikat memerlukan satu tugas yang perlu diselesaikan, mereka mempunyai pilihan untuk mengambil pekerja bebas berbanding mengambil pekerja tetap.

Majikan tidak lagi perlu ‘pening kepala’ untuk mengupah pekerja tetap yang mana mereka perlu diberikan manfaat perkhidmatan kesihatan, caruman wang simpanan dan lain-lain manfaat lagi.

Mengikut perangkaan 46 peratus profesional sumber manusia di seluruh dunia mengunjurkan menjelang 2020, sehingga 20 peratus daripada tenaga kerja akan terdiri daripada pekerja kontrak untuk tugasan jangka pendek atau bebas.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Planetmahir Sdn Bhd, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah peserta ekonomi gig akan terus meningkat kepada lebih 40 peratus daripada tenaga kerja.

“Mereka yang berada dalam ekonomi gig ini akan sentiasa berada dalam kedudukan sementara atau sambilan. Ini bermakna mereka tidak akan dapat membangunkan kemahiran yang kukuh atau meningkatkan kepakaran, yang boleh menawarkan laluan kerjaya yang lebih positif.

“Jika mereka tidak dapat memecahkan kitaran pekerjaan sementara ini, masa depan mereka mungkin tidak kekal. Mereka mungkin tidak akan dapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik atau pekerjaan yang lebih baik yang menawarkan faedah dan pampasan yang stabil,” katanya.

Berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peningkatan ekonomi gig dan penduduk yang semakin tua dijangka menyebabkan penurunan peratusan pekerja yang menyumbang kepada dana itu.

Ini bertentangan dengan pekerjaan tetap di mana penyumbang gaji sektor swasta menyumbang kepada KWSP sementara penjawat awam mempunyai perlindungan pencen awam.

Isunya ialah mengapa semakin ramai generasi muda terlibat dalam ekonomi gig ini jika ia ternyata agak mengecewakan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, berkata ekonomi gig dikenal pasti sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi dan akan menjadi sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12.

Kerajaan juga menyedari implikasi ekonomi gig dan perlunya untuk menjaga hak pekerja.

Sesungguhnya, ekonomi gig dijangka akan terus berkembang dan mendapat tempat dalam dunia pekerjaan di Malaysia.

Melihat kepada perkembangan ini, kerajaan seharusnya perlu megambil langkah untuk melaksanakan polisi yang bergerak seiring dengan perubahan lanskap pekerjaan hari ini.

Ekonomi gig adalah satu pasaran pekerjaan yang baik namun jika tiada sebarang usaha proaktif yang diambil ia juga mungkin akan menyebabkan banyak tenaga kerja bakal kehilangan pekerjaan di masa hadapan.

Suara Sarawak