Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.4 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR: MIDF Research mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan berkembang sebanyak 5.4 peratus tahun ini, kembali pulih daripada kejatuhan yang dicatatkan pada 2020.

Ia sejajar dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi domestik dan global.

Bagaimanapun, ia berkata, prestasi ekonomi pada suku pertama 2021 (Q1 2021) masih lagi akan dipengaruhi oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung dan sekatan yang diperbaharui di negara-negara utama berikutan berlakunya lonjakan dalam kes COVID-19 yang membataskan pergerakan dan memperlahankan permintaan.

“Selain itu, kami menjangkakan kelembapan sementara akan berlaku dalam pemulihan pasaran tenaga kerja kerana beberapa perniagaan telah memberhentikan seketika pengambilan pekerja ekoran aktiviti peniagaan yang rendah semasa tempoh PKP 2.0, yang telah menjejaskan prospek pendapatan.

“Dengan mengambil kira sekatan pergerakan, khususnya pada Q1 2021, kami menyemak kembali unjuran pertumbuhan KDNK tahun sepenuhnya kepada 5.4 peratus tahun ke tahun daripada tujuh peratus tahun ke tahun sebelum ini, dengan menjangkakakan ekonomi akan mencapai tahap kembali normal secara berperingkat,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Namun begitu, MIDF percaya kesannya akan jauh lebih rendah berbanding PKP pertama tahun lalu memandangkan langkah-langkah yang kurang ketat yang membolehkan kebanyakan perniagaan beroperasi, sementara impak terhadap penggunaan persendirian dapat dikurangkan menerusi perbelanjaan dalam talian.

Dengan elemen positif seperti pengedaran vaksin dan pengembangan dasar fiskal dan monetari, kedua-dua aspek permintaan dan penawaran dijangka bertambah baik terutamanya mulai Q2 2021 dan seterusnya, katanya.

“Selain itu, unjuran pertumbuhan yang kukuh untuk rakan dagang utama seperti China dan Amerika Syarikat (AS) akan membantu pemulihan ekonomi Malaysia melalui permintaan eksport yang lebih tinggi,” jelasnya. – BERNAMA

Suara Sarawak