Ekonomi Sarawak terurus – Abang Johari

KUCHING: Memantau (penjimatan) rizab, pelaburan strategik dan penggunaan kewangan adalah tiga kriteria utama yang diambil pertimbangan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memformulakan ekonomi Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ketiga-tiga faktor ini telah menyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri yang konsisten, bahkan membawa lebihan belanjawan.

Menurutnya, dari segi tenaga elektrik amnya, kerajaan negeri telah membelanjakan wang untuk memperluaskan bekalan elektrik melalui pembinaan empangan-empangan termasuk mengambil alih Empangan Bakun.

Katanya dengan pemilikan utiliti berkenaan, kerajaan negeri bukan sahaja menjana pendapatan daripada tarif dikenakan malah dapat membekalkan elektrik kepada rakyat di kawasan luar bandar.

Beliau menambah begitu juga dengan bekalan air yang sangat diperlukan dalam kehidupan seharian, apabila kerajaan negeri memperuntukkan dana yang besar untuk membangunkan kemudahan asas itu sehingga ke kawasan luar bandar.

Abang Johari Tun Openg

Selain itu, katanya ia termasuk pembangunan jalan pesisir yang dijangka membuka peluang ekonomi kepada masyarakat di sepanjang laluan berkenaan.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa kami tidak akan muflis dalam tiga tahun.

“Malah, mungkin kami mendapat lebih banyak wang melalui pelaburan ini dalam jangka masa panjang,” katanya pada Majlis Pelancaran Pejabat PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia Kuching di Wisma Persatuan Perkayuan Sarawak (STA) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abu Bakar Marzuki, Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Pengurus Rakan PwC Malaysia Sridharan Nair.

Selain itu, Abang Johari berkata Sarawak juga memperoleh pendapatan yang besar daripada pengenaan cukai jualan ke atas minyak dan gas.

Sehubungan itu, beliau berkata segala pendapatan yang diperolehi inilah yang digunakan untuk membangunkan Sarawak ke arah yang lebih maju sekali gus menaik taraf kehidupan dan ekonomi rakyat.