Ekonomi Sarawak tidak terjejas kerana Covid-19

KUCHING: Kerajaan Sarawak tetap fokus kepada pembangunan infrastruktur berbanding Kerajaan Persekutuan, yang kini menumpukan kepada simulasi ekonomi, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ia sebagai langkah mengukuhkan ekonomi yang tejejas akibat krisis global Covid-19.

“Pakej simulasi ekonomi kebangsaan yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan agak berbeza dengan Sarawak.

“Mereka (Kerajaan Persekutuan) sebaliknya memperkenakan simulasi ekonomi terhadap sektor perkhidmatan yang terjejas teruk akibat Covid-19,” katanya selepas melancarkan portal dan aplikasi Sarawak Travel di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, kebergantungan Semenanjung Malaysia terhadap sektor perkhidmatan negara luar menyebabkan mereka turut terheret dan terjejas apabila krisis seperti Covid-19 ini berlaku.

“Di Sarawak, kita memang ada sektor perkhidmatan dengan China, tetapi ia tidak memberi kesan yang besar.

“Berdasarkan rekod pada suku akhir tahun lalu, pertumbuhan ekonomi melibatkan mereka agak lembap iaitu sebanyak 3.5 peratus,” jelasnya.

“Sektor pelancongan domestik misalnya lebih banyak menyumbang dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pada tahun lalu, hanya 300,000 pelawat dari China direkodkan,” ujarnya.

Mengulas mengenai tenaga kerja dari China pula, Abang Johari memberitahu, mereka diwajibkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing sebelum kembali bertugas.

Katanya, selepas dikuarantin selama 14 hari, pekerja dari China dianggap bebas Covid-19.

Suara Sarawak