ARTIKEL

Abdul Karim, mewakili Premier Sarawak, berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kumpulan Affin di sini, hari ini.

Ekosistem lengkap dapat tingkatkan pertumbuhan ekonomi Sarawak kepada RM282 bilion pada 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Aspirasi dan sasaran Sarawak untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sehingga mencapai RM282 bilion pada tahun 2030 dapat direalisasikan dengan adanya ekosistem ekonomi yang lengkap.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ekosistem negeri lengkap penting bagi melonjakkan aktiviti pembangunan ekonomi yang telah dirancang.

“Sasaran kami adalah meningkatkan pertumbuhan ekonomi daripada RM146 bilion pada tahun 2022 kepada RM282 bilion pada tahun 2030.

“Oleh itu, Sarawak sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan rakan-rakan strategik, termasuk institusi kewangan, demi kepentingan serta manfaat semua pihak dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kumpulan Affin di sini, hari ini.

“Pada ketika ini, Kerajaan Negeri telah mentadbir dan menguruskan ekonomi serta sumber dengan baik sehingga mampu mengembangkan dan mempelbagaikan asas ekonomi yang kukuh untuk menjadi wilayah termaju dan berpendapatan tinggi di Malaysia.

“Justeru, dengan sistem sokongan yang kukuh, saya optimis dapat menjayakan aspirasi ini bagi mencapai pertumbuhan, keamanan dan kemakmuran serta terus melakar banyak kejayaan dengan ekonomi yang lebih mantap,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, inisiatif Kerajaan Sarawak bersama institusi kewangan seperti Kumpulan Affin adalah bagi memastikan negeri ini mempunyai sektor kewangan yang lebih dinamik dan dapat memenuhi keperluan ekonomi semua lapisan masyarakat.

“Kumpulan Affin turut dilihat memberikan komitmen yang tinggi dalam memperluaskan rangkaian produk dan perkhidmatannya.

“Jalinan kerjasama ini juga dilihat dapat meningkatkan usaha merangkumkan ‘kewangan untuk semua’.

“Ia termasuk segmen perbankan komuniti, perbankan perusahaan, perbankan korporat, perbendaharaan dan perbankan pelaburan, sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri untuk merancakkan sektor perniagaan dan keusahawanan,” tegasnya.

Beliau turut menyambut baik langkah institusi perbankan tersebut memperluaskan rangkaian produknya agar semua perkhidmatan yang ditawarkan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

“Saya berharap agar Kumpulan Affin dapat terus memperluaskan peluang dan perkhidmatan di Sarawak agar semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil tidak kira di mana mereka berada, mendapat akses kepada produk dan perkhidmatan kewangan yang inovatif bagi memenuhi keperluan mereka,” tegasnya.

Pada minggu lalu, Abang Johari memberitahu proses pengambilalihan majoriti pegangan saham dalam Affin Bank Bhd oleh Kerajaan Sarawak berada pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

Pengambilalihan pegangan saham dalam bank komersial tersebut, yang dijangka dimeterai dalam tempoh sebulan ini, bertujuan membantu dan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di samping melengkapkan ekosistem ekonomi Sarawak.

BERITA LAIN

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.

BERITA TERBARU

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.