KUCHING: Nilai eksport bagi produk kayu di Sarawak mencapai RM2 bilion bagi sesi separuh pertama tahun ini berbanding RM1.8 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.
Pengerusi Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) Datuk Sir Wong Kie Yik berkata ia merupakan peningkatan ketara sebanyak 11.7 peratus.
“Dapat dilihat bahawa pembukaan semula ekonomi di seluruh dunia berjaya mendorong peningkatan nilai eksport dalam industri perkayuan Sarawak.
“Malah, jumlah nilai eksport produk kayu di Sarawak meningkat sebanyak 3.9 peratus daripada RM3.7 bilion pada 2020 kepada RM3.9 bilion tahun lepas,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2022 STA, di Wisma STA, di sini, hari ini.
Menurutnya, STA optimis bahawa momentum dan trend positif dapat dikekalkan sekiranya lebih banyak dasar sokongan diberikan pihak kerajaan.
Hal ini kerana syarikat dari Semenanjung Malaysia kebanyakannya mencari bahan mentah di Sarawak seperti kayu balak, kayu papan, papan lapis, dan lain-lain,” katanya.
“Namun, dasar yang paling penting adalah untuk menyediakan tenaga kerja yang mencukupi dari mana-mana negara berkaitan untuk menggerakkan industri, sekali gus membawa momentum ini ke hadapan,” katanya.
Tambahnya, melalui Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak, beberapa inisiatif turut diambil untuk membangunkan Taman Perabot dan membina kumpulan pereka perabot bagi mempercepatkan pembangunan industri perabot.
“Ia diyakini dapat membantu menggerakkan industri kayu kayan di negeri ini ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya ringkas.
