Elak dendam, semai sifat saling menghormati

MIRI: Masyarakat digesa supaya tidak terpengaruh dengan anasir luar tidak sihat dan melampau yang boleh mencetuskan perpecahan keharmonian kaum di Sarawak.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, rakyat Sarawak sudah lama hidup dalam suasana harmoni dan sewajarnya situasi tenang seperti ini dikekalkan.

“Kita lihat apa yang berlaku kepada sesetengah negara yang sedang bergolak, bersengketa sesama sendiri, orang awam, masjid bahkan sekolah dan hospital menjadi sasaran, kemusnahan bangunan dan harta benda.

“Semua ini berlaku kerana dendam dan kebencian antara satu sama lain,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Majlis Islam Sarawak (MIS) kepada Masjid dan Surau Daerah Miri pada Selasa.

Sehubungan itu katanya, masyarakat terutama di Miri perlu menunjukkan sifat saling menghormati bagi memastikan negara terus makmur dan maju.

Mengulas mengenai sumbangan itu, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kata Kim Shin telah memberikan RM50 juta untuk badan-badan keagamaan bukan Islam.

“Rakyat Sarawak tidak mempunyai masalah dari sudut agama, malah Kerajaan Sarawak mempunyai inisiatif untuk membantu semua agama selain agama Islam, bantuan disalurkan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor),” tambahnya.

Katanya Sarawak dikenali sebagai negeri contoh di negara ini dari segi keharmonian agama dan perpaduan rakyat. “Masjid An-Naim Lutong yang bersebelahan Gereja Good Sheapherd Lutong, antara simbol perpaduan dan keharmonian kedua-dua penganut Islam dan Kristian.

“Kedua-dua rumah ibadat ini bekerjasama dan berkongsi kawasan tempat letak kenderaan untuk kedua-dua penganut beribadat pada Jumaat dan Ahad,” jelasnya.

Sementara itu, sebanyak 195 buah masjid dan surau di Bahagian Miri telah mendapat manfaat daripada sumbangan ini.

Kim Shin berkata bantuan sebanyak RM1,000 bagi setiap masjid dan surau mencerminkan kepimpinan cemerlang Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.