Elak fasa lebih dahsyat

SRI AMAN: Penduduk rumah panjang dinasihati supaya bersabar dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama, sekali gus membendung penularan Covid-19, kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis.

Beliau yang juga Adun Simanggang menambah, perintah sekatan keluar dan masuk rumah panjang yang dilaksanakan kerajaan ketika ini adalah untuk menjaga kesihatan orang ramai terutama golongan rentan.

“Pandemik Covid-19 telah memasuki komuniti rumah panjang. Jika kita tidak bersungguh-sungguh serta tidak bekerjasama dengan pihak berkuasa, kita akan mengalami fasa yang lebih dahsyat nanti.

“Justeru, saya merayu semua penduduk terutama yang tinggal di rumah panjang agar mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa terutama dalam upacara pengebumian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan makanan dan minuman kepada penduduk rumah panjang Sri Aman sumbangan SUPP Cawangan Simanggang dan Kelab Bola Keranjang Chung Hua Simanggang di sini baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan ketua masyarakat untuk menasihati anak buah masingmasing agar mendisiplinkan diri ketika berhadapan dengan masa sukar ini.

Antara penerima adalah 49 keluarga dari Rumah Ayai Kampung Putat, 29 keluarga dari Meria Sengelau Jalan Paip dan 12 keluarga dari Rumah Lang anak Sadai Sungai Putong Ulu Paku, Undop.