Elak gelombang kedua, Brunei minta rakyat patuhi arahan

BANDAR SERI BEGAWAN: Negara Brunei Darussalam kini sudah lebih 100 hari mengharungi penularan wabak Covid-19 dan dapat mengawalnya dengan baik.

Walau bagaimanapun, pandemik ini masih lagi berleluasa di luar sana dan kekhuatiran itu masih ada. Menteri Kesihatan Brunei, Dr. Awang Haji Md. Isham Haji Jaafar mengatakan perkara itu pada sidang media situasi jangkitan Covid-19 tempatan Kementerian Kesihatan.

Memetik BruDirect.com, pihak berkuasa mengharapkan penduduk negara itu supaya memainkan peranan penting dalam tanggungjawab sosial, terutama dalam mematuhi penjarakan sosial dan perhimpunan ramai.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar mematuhi arahan atau nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan penularan dapat dikawal dan mengelak tercetusnya gelombang baharu jangkitan Covid-19.

Sementara itu, berhubung keperluan pekerja warga asing yang bekerja di industri minyak dan gas untuk menjalankan saringan Covid-19, Dr. Awang Md. Isham berkata warga asing perlu berbuat demikian 48 jam sebelum berangkat ke Brunei.

Mereka juga disaring sekali lagi setiba di negara itu dan dikuarantin bagi memastikan mereka bebas daripada wabak tersebut. Setakat ini tiada kes jangkitan baharu Covid-19 disahkan di negara itu dan jumlah keseluruhan kekal 141 kes.

Menurut beliau, tiada kes aktif yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan. Seramai 18 orang masih menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, 2,805 orang menamatkan tempoh kuarantin dan mereka berada dalam keadaan baik.

Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 277 sampel diuji bagi virus SARS-CoV-2, yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 menjadi 25,600 ujian.

Brunei memperkenalkan aplikasi BruHealth. Setakat ini, seramai 386,936 mendaftar di aplikasi tersebut, iaitu sejumlah 9,371 mendaftar bagi syarikat dan premis, manakala 5,020 premis perniagaan memuat turun aplikasi PremiseScan.

Suara Sarawak