Elak jual tanah

KUCHING: Kakitangan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) harus menggalakkan pemilik Tanah Adat Bumiputera (NCR) supaya mengusahakan tanah bagi pertanian.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia bertujuan mengelakkan pemilik menjual tanah berkenaan.

Justeru itu, katanya, kakitangan JTS yang bekerja di lapangan harus menggalakkan pemilik tanah yang telah disukat terutamanya dari luar bandar supaya mengusahakan tanah mereka.

“Warga JTS yang bekerja di lapangan dapat memberi nasihat kepada pemilik tanah supaya mengusahakan tanah mereka dengan menanam pelbagai jenis tanaman.

“Dengan tanah yang diusaha kan ini, ia akan memberi nilai tambah kepada tanah mereka,” katanya.

Beliau turut menyatakan akan mentransformasikan pertanian di negeri ini dengan pertanian moden seperti kaedah fertigasi.

Menurutnya, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Produk Pertanian (CPPC) di Tarat telah mengumpul seribu biji durian dalam masa tiga hari.

Katanya lagi, durian tersebut dibeli oleh Jabatan Pertanian untuk diproses dan dijual ke China.

Abang Johari turut melancarkan e-Lasis yang diperkasakan dalam bentuk aplikasi mudah alih ke arah pengurusan tanah pintar.

“Maklumat tanah dapat diakses oleh rakyat dalam masa 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun dan sentiasa ditambah baik seiring dengan keadaan semasa,” ujarnya.

Terdahulu, Pengarah JTS Abdullah Julaihi berkata, e-Lasis diperluaskan aksesnya.

“Ia sebenarnya bermula secara sesawang dan kini dalam bentuk aplikasi mudah alih,” ujarnya.

Menurut Abdullah, Ketua Menteri akan melancarkan 10 modul dalam e-Lasis dan aplikasi tersebut akan ditambah dari semasa ke semasa.

Suara Sarawak