KETAGIHAN permainan video berlebihan hingga menjejaskan keupayaan dan kesihatan seorang yang normal agar melampau. Fenomena ini dilihat bukan sahaja berlaku dalam kalangan remaja, malah berlaku dalam kalangan dewasa yang sudah tabu berfikir baik buruk kesannya.
Oleh itu, pakar kesihatan mental di Malaysia menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peningkatan tabiat permainan video yang tidak terkawal. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengklasifikasikan ketagihan permainan video sebagai masalah kesihatan mental.
Ketagihan permainan video dalam kalangan masyarakat sememangnya satu penyakit apabila tidak dirawat akan menjadi barah yang sangat berbahaya. Kebelakangan ini kita sudah mendengar pelbagai kejadian malah kematian yang berlaku disebabkan oleh ketagihan permainan video secara melampau.
Seperti yang berlaku baru-baru ini di Sarawak, seorang lelaki mengalami pendarahan otak selepas dipercayai ketagihan permainan video melampau sehingga tidak cukup masa tidur.
Kajian menunjukkan bahawa ketagihan permainan video boleh mempengaruhi kesihatan fizikal, psikologi dan fungsi sosial pemain. Ketagihan menyebabkan pemain mengalami tekanan, perubahan corak pemakanan dan tidur, kurang tumpuan semasa belajar atau bekerja dan kurang pergaulan sosial.
Kesan paling serius ketagihan termasuklah kegagalan belajar, kehilangan pekerjaan dan kegagalan hubungan. Personaliti menunjukkan masalah permainan video dan sifat tertentu merupakan petanda risiko untuk ketagihan permainan video dan beberapa sifat umum yang anda harus kita ketahui.
Pertamanya, seseorang yang ketagih permainan video lemah dalam kemahiran mengurus diri menunjukkan ketidakupayaan seseorang untuk memahami kesan bermain permainan video secara tidak terkawal.
Kedua, berlakunya kegelisahan sosial dan gangguan pemikiran disebabkan persekitaran sosial membenarkan perhubungan di sebalik skrin, tanpa kejanggalan interaksi sosial dunia sebenar yang menyebabkan pemain mengelak untuk interaksi sosial akibat perbezaan atau kemahiran sosial yang berkurangan.
Ketiga, sukar menerima perubahan kerana perubahan boleh menjadi sesuatu yang menakutkan bagi sesetengah orang. Jika anak anda juga terkesan, dia mungkin akan menghabiskan masa dengan permainan yang banyak berulangan atau senang diramal.
Keempat, sentiasa mencari perkara baru atau rangsangan. Kanak-kanak yang gemarkan rangsangan berisiko ketagihan permainan video kerana usaha berterusan mereka untuk mencari persekitaran dan pendedahan baharu sehingga kemungkinan lebih tinggi untuk berlakunya ketagihan permainan yang berunsur keganasan.
Kelima, berlakunya ketidakstabilan emosi boleh membawa kepada kekurangan keyakinan diri, menyebabkan lebih banyak tekanan. Permainan video membantunya menghadapi emosi negatif dan masalah, dan kajian mendedahkan bahawa individu seperti ini lebih suka permainan yang berunsur keganasan.
Keenam, memandang tinggi diri sendiri (narsisisme) demi memenuhi ego, individu narsisistik mendapat kepuasan daripada permainan video dengan sistem berdasarkan pencapaian ganjaran diberikan setelah menyelesaikan sesuatu cabaran.
Selain daripada sifat personaliti, permainan video juga mengandungi ciri tertentu yang menarik atau meningkatkan peluang seseorang untuk menjadi ketagih.
Oleh sebab itu, masalah ini perlu dipandang serius oleh semua pihak terutamanya ibu bapa dalam melakukan pemantauan terhadap anak-anak mereka. Sebagai ibu bapa, kita harus mengehadkan aktiviti permainan video anak anda dengan menetapkan peraturan yang jelas tentang jangkaan bagi permainan video atau penggunaan gajet digital.
Untuk memudahkan pemantauan penggunaan komputer atau konsol permainannya, letakkan alat itu di kawasan terbuka di rumah anda, contohnya ruang tamu.
Paling penting, jadilah konsisten dalam menguatkuasakan peraturan yang anda tetapkan. Seperti aktiviti lain juga, tetapkan jadual berapa lama dia boleh bermain.
Mengimbangkan masa permainan video dengan aktiviti fizikal, contohnya 1 jam permainan bagi setiap 1 jam rekreasi di luar. Ketagihan permainan video harus ditangani secepat mungkiny, sebelum menyebabkan masalah lebih besar dalam aspek kehidupan harian lain.

Jurulatih baharu Sarawak United FC
KUCHING: Presiden Sarawak United FC, Datuk Posa Majais memberi bayangan