Elak lalai, leka dan lupa

SIBU: Orang ramai harus peka serta berpengetahuan dalam menghadapi situasi kecemasan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman berkata, masyarakat secara umumnya harus bersedia menghadapi situasi kecemasan seperti kebakaran dan kecelakaan lain.

Menurut beliau, struktur geografi Sarawak memerlukan komitmen tinggi.

“Struktur geografi Sarawak memerlukan komitmen yang tinggi bahawa semua agensi penguatkuasaan menjalankan tugas mereka dengan kepercayaan, dedikasi, ketelusan dan integriti,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan Sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina JBPM Zon Sarawak di Sibu Jaya, petang semalam.

Hadir sama ialah Pemangku Ketua JBPM Zon 4 Sibu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad serta yang lain.

Menurutnya, program tersebut mendedahkan cara menangani isu-isu dengan pengetahuan dan kemahiran.

“Sebagai contoh, orang ramai perlu tahu mengenai penggunaan alat pemadam api mudah alih.

Komuniti yang berpengetahuan dan mahir akan meletakkan pemadam api di rumah untuk mengelakkan keadaan yang tidak dijangka,” katanya lagi.

Beliau juga turut menasihati orang ramai untuk mengetahui tentang pengurusan kecemasan sekiranya berlaku keadaan yang tidak diduga seperti kebakaran.

Sementara itu, beliau menyarankan orang ramai mengamalkan prinsip 3L iaitu tidak lalai, leka dan lupa sebagai langkah awal mengelak kebakaran di rumah yang menyebabkan kehilangan nyawa dan harta. Katanya, bagi mengelak kebakaran, orang ramai perlu peka dengan mengutamakan keselamatan di rumah masing-masing.

“Sekiranya prinsip 3L tidak diamalkan, pelbagai kemungkinan akan berlaku kerana kebanyakan kes kebakaran berpunca daripada api di dapur.

“Oleh itu, saya nasihatkan orang ramai terutama suri rumah sentiasa menitikberatkan keselamatan dengan menjadikan prinsip 3L sebagai panduan,” jelasnya.

Khirudin berkata, pihaknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk media massa bagi mencapai tujuan tersebut.

“Peranan media amat diperlukan dalam memastikan mesej jabatan sampai kepada semua lapisan masyarakat melalui penyiaran berita mengenai kesedaran tentang bahayanya kebakaran,” ujarnya.

Tegasnya, pihaknya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan khususnya perkara tidak diingini seperti kebakaran.

Program tersebut melibatkan penyertaan semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari kawasan wilayah tengah.

Suara Sarawak