Elak terlalu garang didik anak-anak

MUSIM pandemik Covid-19 merupakan satu cabaran bagi ibu bapa. Ini kerana anak-anak tidak ke sekolah dan belajar di rumah, ibu bapa pula yang menggalas tugas membimbing anak-anak.

Bagi pelajar sekolah menengah mungkin tidak terlalu sukar kerana sudah matang dan mampu menerima arahan dengan baik.

Namun bagi anak-anak peringkat tadika dan tahap rendah pada usia umur 6 tahun hingga 12 tahun ia memerlukan perhatian khusus ibu bapa.

Bukan semua ibu, suri rumah sepenuh masa. Ramai juga ibu yang berkerjaya, jadi aspek fokus untuk membimbing agak sukar dilaksanakan.

Namun terdapat beberapa cara ibu bapa untuk membantu anak-anak belajar dalam sesi pembelajaran dari rumah bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pencapaian akademik.

Bagi murid yang terlibat dengan pengajaran secara dalam talian, ibu bapa hendaklah berbelanja lebih sedikit untuk menyediakan kemudahan Internet yang baik di rumah.

Melanggan pakej Internet yang berkualiti boleh memastikan anak-anak mendapat akses yang baik untuk belajar secara Google Meet, Zoom atau Streaming.

Platform begini tidak memerlukan bimbingan ibu bapa kerana anak-anak akan diajar secara langsung oleh guru dari rumah.

Ibu bapa hanya perlu memantau agar anak-anak berasa selesa untuk belajar.

Dalam aspek ini, ibu bapa haruslah menyediakan tempat yang kondusif untuk anak-anak belajar seperti dalam bilik yang mempunyai cahaya dan pengudaraan yang baik serta berpakaian kemas semasa sesi pembelajaran dalam talian berlangsung.

Ibu bapa hendaklah memastikan tiada gangguan, sama ada dari dalam rumah atau luar rumah yang boleh menjejaskan fokus.

Antara gangguan yang perlu dihindari ialah bunyi televisyen atau radio yang kuat dan bunyi semasa ibu membuat kerja mengemas rumah seperti vakum dan memasak yang mungkin boleh mengganggu pembelajaran anak-anak.

Kawal juga anak-anak yang lain agar tidak mengganggu abang atau kakak mereka yang belajar.

Bagaimana pula dengan pembelajaran luar talian?

Inilah cabaran sebenar bagi ibu bapa dalam menangani masalah pembelajaran anak-anak pada musim pandemik Covid-19.

Pembelajaran luar talian ini lebih kepada pemberian kerja rumah, latihan dan projek menggunakan aplikasi muat turun sama ada dari aplikasi WhatsApp atau telegram.

Banyak kumpulan kelas diwujudkan dan bagi ibu bapa yang bekerja, kebanyakan tugasan yang diberikan akan masuk ke dalam telefon pintar ibu bapa.

Ada ibu bapa yang sudah balik bekerja barulah dapat memberikan kerja rumah kepada anak-anak.

Malah selepas memberikan kerja rumah atau tugasan kepada anak-anak, ibu bapa akan menjadi tempat rujukan jika anak-anak tidak faham.

Inilah faktor yang menyebabkan ibu bapa semakin tertekan.

Untuk mengatasi masalah ini ibu bapa hendaklah berbincang dengan guru.

Mohon agar diberikan masa yang secukupnya supaya anak-anak tidak tergesa-gesa menyiapkan kerja, memandangkan ibu bapa lambat memberikan tugasan kerana masih di pejabat.

Insya-Allah guru memahami. Semasa membimbing pastikan anak-anak menjawab soalan mudah terlebih dahulu.

Soalan sukar boleh ditangguhkan untuk sesi soal jawab bersama-sama guru nanti.

Dengan cara ini ibu bapa tidak terlalu tertekan dengan tugasan anak. Jangan sesekali membuat kerja rumah anak-anak kerana perbuatan tersebut tidak membantu proses pembelajaran.

Ada laporan diterima, ramai ibu bapa yang membantu kerja rumah anak-anak dan ia dapat dikenal pasti melalui bentuk tulisan.

Ibu bapa pula janganlah terlalu garang pada anak-anak.

Saya berasa lucu apabila terbaca posting daripada netizen yang menceritakan kisah mesej seorang murid kepada gurunya.

“Cikgu bila sekolah nak buka… saya ingat cikgulah yang paling garang, rupa-rupanya mak saya lagi garang kalau mengajar saya.”

Mesej tersebut membuatkan saya tersenyum apabila membacanya di facebook.

Oleh itu ibu bapa janganlah terlalu garang semasa membimbing anak-anak.

Cukup sekadar anak-anak dapat menjawab soalan.
Jangan dipaksa kerana dikhuatiri anak-anak akan tertekan.

Kesimpulannya, kerjasama antara guru dengan ibu bapa amat penting bagi memastikan anak-anak dapat meneruskan pembelajaran dengan lancar.

Hubungan baik ini boleh memberikan kesan positif terhadap perkembangan akademik anak-anak.

Semoga Covid-19 ini cepat berlalu dan anak-anak kembali ke sekolah dengan semangat baharu.

• Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman.

Suara Sarawak