SARIKEI: Golongan muda perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dengan menceburi pelbagai bidang yang bermanfaat.
Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, belia yang bijak mengambil peluang dan kreatif membuat keputusan mampu memajukan ekonomi diri dan keluarga.
Bagaimanapun katanya, mereka akan ketinggalan jika tidak berusaha dan terperangkap dalam zon selesa.
“Saya mahu anak-anak muda menguasai ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang di samping mengelak diri daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat,” katanya pada majlis sumbangan pendidikan pelajar cemerlang anjuran Persatuan Foochow Sarikei di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, jalan baharu ke Tanjung Manis bukan sahaja bakal dinikmati oleh penduduk Sarikei tetapi juga seluruh rakyat khususnya, mereka yang tinggal di kawasan pesisir.
Menurutnya, jalan raya sepanjang 17 kilometer, termasuk Jambatan Batang Rajang itu mampu mengurangkan masa perjalanan daripada dua setengah jam kepada hanya 40 minit.
Apabila siap kelak katanya, pergerakan penduduk di Sarikei dan Bintangor ke Tanjung Manis akan lebih mudah.
Ujarnya, ia memudahkan pengusaha untuk membawa keluar dan masuk hasil pertanian, perikanan dan perkhidmatan dari Tanjung Manis dengan bandar utama lain seperti Sibu, Kuching, Sri Aman, Bintulu dan Miri.
“Saya mahu anak-anak muda melihat usaha Kerajaan Sarawak ini sebagai peluang untuk memajukan diri.
Ia tidak seharus nya dibiarkan begitu sahaja.
“Sudah semestinya, kita berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana begitu prihatin dengan keperluan kita di kawasan ini,” katanya lagi.