Elak wujud kluster baharu

BALINGIAN: Adun Balingian Abdul Yakub Arbi mahu semua penduduk di Balingian dan Mukah mengelak kemasukan orang awam terutamanya dari zon merah ke daerah Mukah dan Balingian buat sementara waktu.

Menurutnya, ia bagi mengekang dan mengelakkan jangkitan Covid-19. “Kita tidak mahu terjadinya Kluster Pasai atau Kluster Jalan Pengiran.

Ia adalah jangkitan dari daerah lain. “Apatah lagi tidak lama lagi merupakan cuti Tahun Baharu Cina. Maka langkah berjaga-jaga ini perlu dipertingkatkan. Status seseorang tidak dapat diketahui melalui mata kasar,” katanya.

Menurut Abdul Yakub, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua masyarakat dan ketua kaum juga telah diberikan kuasa untuk menjaga serta melindungi kampung atau rumah panjang masing-masing.

Oleh itu katanya, mereka perlu mengambil langkah-langkah seperti kebanyakan kampung di daerah Matu yang menghalang kemasukan orang luar.

Abdul Yakub juga menyedari ada antara rumah panjang serta perkampungan di kawasannya telah mengambil inisiatif yang sama. “Inilah tindakan yang mesti diambil.

Kita terpaksa ambil langkah tegas seperti ini demi keselamatan semua pihak dan bagi memutuskan rantaian jangkitan,” jalasnya lagi.