Elakkan aktiviti keramaian

PADAWAN: Adun Mambong Datuk Dr Jerip Susil mengingatkan penduduk di dalam konstituensinya agar tidak melakukan aktiviti keramaian ketika ini.

Katanya ia sebagai langkah mengelak berlakunya penularan Covid-19, seperti mana yang berlaku di Kampung Emperoh Jambu.

“Kalau boleh, majlis besar tidak boleh diadakan kerana aktiviti keramaian ini akan merumitkan lagi keadaaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di pos kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Emperoh Jambu, di sini hari ini.

Jerip yang juga Menteri Muda Pengangkutan menambah bagi upacara pengebumian pula, ia sebaik-baiknya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat sahaja dan harus dimaklumkan kepada pejabat daerah dan polis.

Jelasnya, upacara pengebumian adalah dihadkan kepada 10 orang sahaja yang berada di dalam rumah pada satu-satu masa tertakluk kepada saiz ruang rumah.

Tambah beliau, upacara pengebumian di tapak perkuburan dihadkan kepada 30 orang terdiri daripada pemberi perkhidmatan pengebumian dan ahli keluarga terdekat sahaja.

Beliau turut menegaskan bahawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak digalakkan menghadiri sebarang upacara pengebumian dan majlis sosial.