Elaun kritikal sumbang 50 peratus gaji bulanan

KUCHING: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian prihatin terhadap Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kui Hian berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula kedudukannya bersama-sama dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan mengambil kira keperluan kakitangan perubatan secara serius.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang bersetuju membawa perkara tersebut untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Tambahnya, beliau bimbang tindakan terburu-buru itu akan menjejaskan motivasi perkhidmatan perubatan.

“Ramai doktor dan ahli Persatuan Perubatan Malaysia menyatakan bahawa mereka terkejut dan tidak gembira dengan pemansuhan elaun berkenaan,” katanya semalam.

Kui Hian menyatakan, dahulu ketika beliau berkhidmat di hospital awam elaun termasuk dengan BIPK menyumbang sebanyak 50 peratus daripada pendapatan bulanan.

“Bagaimanapun, gaji doktor perubatan di hospital awam masih jauh lebih rendah berbanding hospital swasta.

“Mereka mendapat lima hingga sepuluh kali lebih rendah daripada doktor hospital swasta,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa, terdapat keperluan doktor yang berkualiti dalam perkhidmatan awam untuk mengekalkan sistem penjagaan kesihatan awam yang baik.

“Kunci kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik ialah kakitangan perubatan.

“Kita bukan sahaja kehilangan lebih ramai kakitangan berpengalaman tetapi juga tidak menggalakkan kakitangan berkualiti untuk menyertai perkhidmatan ini pada masa akan datang,” katanya lagi.

Katanya, perkara berkenaan memberikan kesan lebih buruk untuk perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar di negeri ini.

Ujar Kui Hian lagi, Kerajaan Sarawak akan berusaha meneruskan autonomi kesihatan di bawah MA63.