Elektrik Sarawak jana wang

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang mengadakan rundingan intensif dengan Kerajaan Sabah dan Brunei untuk melaksanakan perjanjian penjualan bekalan elektrik.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata rundingan kini menjurus kepada persetujuan harga.

“Mereka mahu harga yang lebih rendah berbanding kita. Saya kata tidak boleh.

“Jika Sarawak bayar banyak, mereka juga harus membayar jumlah yang sama, tidak boleh lebih rendah daripada kita,” katanya ketika berucap menyempurnakan Sambutan Gawai Raya SEB Bersama Ketua Menteri di Menara SEB, di sini semalam.

Hadir sama isteri Abang Johari, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Sharbini Suhaili dan Ketua Gawai Raya SEB Sipol Ambun.

Katanya, sekiranya persetujuan dapat dicapai bagi penjualan bekalan elektrik ke Sabah dan Brunei, ia akan menambahkan lagi jumlah pelanggan dari luar Sarawak.

“Setakat ini, SEB sudah membekalkan tenaga elektrik kepada Kalimantan, Indonesia.

Kerajaan Negeri katanya, turutmengintai Jakarta, yang dilihat berpotensi membeli bekalan elektrik Sarawak.

“Ada kedengaran tentang modal baharu dari Jakarta. Kalau Indonesia membuat keputusan mahukan lebih tenaga elektrik, maka kita dapat saling bekerjasama dan potensinya ada di situ untuk kita memperluas pasaran bekalan elektrik di Borneo pada masa depan,” katanya.

Ketika ini, SEB mengendalikan Empangan Hidroelektrik Bakun berkapasiti 2,400 MegaWatt (MW), Empangan Hidroelektrik Murum berkuasa 944MW dan Empangan Hidroelektrik Batang Ai berkuasa 100MW, selain mengurskan pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh yang berkuasa 1,285MW.

 

Suara Sarawak