Elemen seni serlah warisan kita

MUKAH: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Taib menyifatkan elemen seni merupakan medium penting menzahirkan serta mendokumentasikan nilai kebudayaaan, warisan dan budaya yang ada di Sarawak.
Jelasnya, perkara tersebut dapat diserlahkan melalui kejayaan beberapa pelukis yang berjaya menzahirkan lukisan mural sepanjang 331.1 meter di Tapak Pesta Kaul Kala Dana Mukah yang siap pada bulan lalu.
“Dalam lukisan mural ini kita dapat menghayati cara mereka berkongsi mesej lukisan mengikut budaya dan warisan yang ada di Sarawak ini,” katanya ketika ditemui pemberita di tapak Pesta Kaul Kala Dana Mukah.
Ujarnya, terdapat beberapa lukisan mural yang ada ini dapat mengimbau kembali kenangan lama dan mengingatkan sesiapa sahaja untuk berbangga dengan kebudayaan yang ada apabila berada di tapak Pesta Kaul Kala Dana tersebut.
“Ia juga memberikan perasaan gembira dan mula mengingatkan kembali perkara yang mungkin kita sudah lupa.
“Kita juga dapat menghargai semula monumen lama yang mungkin tidak lagi wujud pada zaman ini dan ia memberikan peringatan kepada generasi muda,” katanya.
Dalam pada itu, pada masa hadapan beliau berhasrat melakukan lebih banyak éksprési melalui seni khasnya mural termasuk seni reka cipta melalui bahan terpakai daripada kayu terpakai di kawasan pantai tersebut.
“Saya ingin terus mewarnakan Mukah termasuk di kawasan lain kerana banyak perkara perlu diekspresikan memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan termasuk golongan penting negara yang telah lama meninggalkan kita.
“Kita juga akan cuba untuk berusaha melaksanakan rekaan daripada bahan kitar semula supaya kita boleh hasilkan barang baharu seperti bangku dan meja berkelah di pantai. “Pada masa sama, kita dapat menjaga dan menyayangi alam semula jadi serta menggunakan sebanyak boleh barang terpakai yang ada,” jelasnya.
Terdahulu beliau dengan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Pasukan Petugas Pelancongan Bahagian Mukah dan Pertubuhan Impian Mukah melawat dan melihat sendiri mural yang disiapkan 20 pelukis tempatan.