Elya bahan jenaka warga maya

KUCHING: Bagi sesiapa yang pernah membuat permohonan i-Sinar secara dalam talian, mereka pastinya kenal dengan sosok bernama ‘Elya’.
Penampilan robot yang direka dengan ciri seorang gadis ini terpampang pada pautan aplikasi permohonan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kalau permohonan lulus, wajahnya nampak tersenyum sinonim dengan rasa gembira yang dialami pemohon.
Tetapi jika permohonan gagal atau belum lengkap, reaksi pada wajahnya terlihat tawar… seolah-olah kecewa.
Sejak kebelakangan ini, watak Elya kerap menjadi bahan jenaka warga maya.

Apa yang mencuit hati, semalam Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuat naik catatan di Facebook rasminya yang berbunyi… Elya.. oh Elya. Kenapa kamu nak menyusahkan orang ramai?
“Hapuskan syarat untuk serah dokumen sokongan. Ini ekoran ketidaksediaan kerajaan (KWSP) memansuhkan segala syarat atau kriteria pengeluaran i-Sinar khususnya permohonan dalam kategori dua.
Sekali gus menjadi respons kepada perutusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin tentang i-Sinar yang dilihat kurang menggembirakan para pencarum.
Biarpun dijelaskan kemudahan i-Sinar akan ditambah baik seperti kesediaan KWSP membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan i-Sinar kategori dua, tetapi bukan itu yang ditunggu pencarum.
Terutama, pemohon i-Sinar yang tidak atau belum diluluskan.

Penulis yang menyoroti ruang komen pada catatan tersebut melihat pelbagai reaksi rakyat dan pastinya, watak Elya menjadi tumpuan pengguna media sosial.
Macam-macam komen dilemparkan dan mungkin inilah realiti yang dikehendaki oleh rakyat.
“Elya tolong la hapuskan syarat kategori dua…tolong la Elya cantik manis orangnya.
“Elya orang muda memang tidak memahami kami.
Elok letak Kak Tijah, yang lebih banyak makan garam daripada Elya.

“Elya, duit Elyakah itu? Sampai rakyat merayu hendak keluarkan masa kesusahan,” kesemua ini antara komen yang ditinggalkan warga maya.
Tidak kurang yang mengkritik dan mempersoalkan mengapa ahli politik yang lain tidak bersuara?
“Najib bersungguh-sungguh… tidak luak pun duit kerajaan. Duit sendiri pun payah nak ambil…,” tambah pengguna lain.
Malah ada yang menyifatkan pembayaran pendahuluan seperti diumumkan Muhyiddin bagi menutup mulut pencarum yang masih meneruskan desakan agar segala syarat atau kriteria pengeluaran i-Sinar dimansuhkan.
“Nak bagi tutup mulut kita, mereka beri RM1,000. Sedangkan orang nak diluluskan RM10,000… pandai putar belit,” ungkap salah seorang pengguna yang seolah-olah kecewa dengan tindakan KWSP.
Malah banyak lagi respons orang ramai terhadap pengeluaran i-Sinar.
Justeru, dapat dilihat dengan jelas bahawa rakyat begitu emosi dengan keputusan kerajaan.
Persoalannya, apakah titik akhir kepada desakan rakyat ini?
Bagi lebih tiga juta pemohon yang telah diluluskan, ini pastinya suatu kelegaan yang tidak ternilai lebih-lebih lagi negara kembali dalam situasi yang kritikal akibat peningkatan jangkitan Covid-19.