Di sebalik popularnya M.V Pulau Kidjang ramai yang tidak tahu kapal itu pernah mendapat gelaran Ema dalam kalangan penduduk Sarikei dan Bintangor suatu ketika dahulu.

Bekas Ketua Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Kampung Jerijeh, Bolhassan Johari, 98, berkata, nama Pulau Kidjang hanya menjadi sebutan selepas beberapa tahun kapal itu beroperasi sebelum karam di Muara Rajang pada 27 Disember 1973.

Bagaimana pun katanya, Ema bukanlah nama rasmi kapal berkenaan dan hanya gelaran yang diberikan oleh penumpang yang pernah menaikinya.

“Saya tidak tahu kenapa kapal ini mendapat nama Ema. Mungkin pada awal kemunculannya orang ketika itu belum biasa menyebut Pulau Kidjang.

Bolhassan Johari

“Ema tidak kekal lama apabila ia mula dikenali dengan nama Pulau Kidjang,” katanya kepada Wartawan Suara Sarawak.

Mengimbau kembali detik ketika kejadian, Bolhassan menceritakan, dia mendapat tahu tentang tragedi itu selepas menunaikan solat subuh.

Tanpa melengahkan masa katanya, dia bersama tujuh lagi anggota RELA dari Sarikei ke lokasi kejadian menggunakan bot dan tiba di situ kira-kira jam 8.00 pagi.

“Masih segar dalam ingatan saya keadaan kapal yang sudah terbalik. Saya dan rakan lain naik ke atasnya. Ketika itu, saya lihat barang mangsa timbul di atas permukaan air. Hati saya cukup sayu apabila terpandang bantal, tilam, botol susu dan pakaian bayi dihanyutkan arus.

Seorang nelayan menunjukkan lokasi M.V Pulau Kidjang karam.

“Bagaimanapun, kami tidak menjumpai mayat atau mangsa yang terselamat. Mungkin masih terperangkap dalam kapal atau telah dihanyutkan ke tempat yang lain,” katanya.

Bolhassan berkata, suasana suram di persekitaran tempat kejadian masih terbayang-bayang dalam mindanya biarpun tragedi itu sudah 46 tahun berlalu.

Malah katanya, dia tidak dapat membayangkan kesengsaraan mangsa yang terpaksa bertarung nyawa untuk menyelamatkan diri.

“Saya pernah menaiki kapal ini sebanyak lima kali dengan tambang RM5.00 ke Kuching. Ia sebuah kapal pengangkutan yang cukup stabil dan selesa. Saya tidak sangka hayatnya berakhir dengan cukup menyayat hati.

“Malah tragedi ini turut meragut nyawa salah seorang saudara terdekat kami dan hingga kini, saya amat terkilan tidak sempat menatap wajahnya untuk kali yang terakhir,” ujarnya.

Lokasi ini meninggalkan kenangan memilukan.

Suara Sarawak