PADAWAN: Tiga lelaki dan seorang wanita cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam 15 kaki di Puncak Borneo tengah hari tadi.
Pemangku Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat kejadians ekitar jam 1.17 tengah hari tadi, daripada IPD Padawan.
“Berdasarkan laporan awal, kenderaan tersebut membawa 10 penumpang dari Borneo Highlands Resort ketika terbabas dan hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung.
“Empat mangsa tersepit manakala yang lainnya berjaya menyelamatkan diri.
Bagaimanapun katanya, ketika pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan tiba di lokasi, kesemua mangsa yang cedera telah berjaya keluar sendiri dan dikeluarkan oleh mangsa lain sementara menunggu pasukan penyelamat mengeluarkan mereka.
“Kesemua mereka yang masih dalam keadaan sedar telah dinaikkan ke atas pengusung sebelum ditarik keluar menggunakan tali penyelamat oleh pihak bomba.
“Mangsa diserahkan kepada pihak paramedik dan seorang daripadaya dikejar ke Hospital Umum Sarawak oleh ambulans EMRS,” tambahnya.
Enam mangsa yang lain dilaporkan mengalami cedera ringan.