KUCHING: Polis memburu empat lagi lelaki disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian (JOL) bagi membantu siasatan lanjut berhubung tangkapan dan serbuan yang dilakukan di pusat JOL di kawasan Kuching baru-baru ini.
Individu terbabit dikenali sebagai Alan Song Chun Hui, 32, Alvin Quek Tze How, 28, Goh Lee Joo, 28, dan Phua Wee Woon, 24.
Justeru Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah menggesa dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kesemua individu terbabit untuk melaporkannya kepada pihak polis.
“Kesemua individu ini diperlukan untuk membantu siasatan mengenai kegiatan JOL.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan kepada pihak polis atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya dalam sidang media di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching petang tadi.
Jelas beliau beberapa siri serbuan telah dilakukan oleh pihaknya sebelum ini namun keempat-empat individu terbabit masih gagal dikesan.