Empat kluster baharu diisytiharkan, tiga kluster tamat

KUCHING: Empat kluster baharu diisytiharkan hari ini iaitu dua di Miri, masing-masing satu di Sebauh dan Sibu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata kluster-kluster ini ialah Kluster Jalan Airport dan Kluster Jalan Ilmu di Miri, Kluster Jalan Masket di Sebauh dan Kluster Sungai Durin di Sibu.

Katanya Kluster Jalan Airport merupakan kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan beberapa buah rumah kediaman tempat kerja di Jalan Airport, Miri yang berpunca daripada pergerakan sosial dan pergaulan rapat di dalam kalangan penghuni di rumah kediaman tersebut.

“Sejumlah 122 individu telah disaring terdapat 12 kes dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 103 kes negatif dan tujuh kes masih menunggu keputusan makmal.

“Kesemua kes positif ini telah dirujuk ke Hospital Miri dan dimasukkan ke Hospital Miri dan PKRC di Daerah Miri bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala, katanya Kluster Jalan Ilmu merupakan satu kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan sebuah premis makanan dan hiburan di Jalan Ilmu, Miri yang berpunca dari pergerakan sosial melibatkan pekerja dan pengunjung premis tersebut.

Sejumlah 242 individu telah disaring, 24 kes telah dikesan positif Covid-19 termasuk kes indeks, 208 kes negatif dan 10 kes masih menunggu keputusan makmal.

Kesemua kes positif ini telah dirujuk ke Hospital Miri dan dimasukkan ke Hospital Miri dan PKRC di Daerah Miri bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Kluster Jalan Masket pula merupakan satu kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Batu 8, Jalan Masket, Nibongmali, Sebauh iaitu melalui pergaulan sosial dalam kalangan penduduk rumah panjang.

Sejumlah 45 individu telah disaring , 17 kes telah dikesan positif termasuk kes indeks, 23 kes negatif dan lima kes masih menunggu keputusan makmal.

Kesemua kes positif ini telah dirujuk ke Hospital Bintulu dan dimasukkan ke Hospital Bintulu dan PKRC di Daerah Bintulu bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

“Ladang tempat kerja indeks kes dan rumah panjang tersebut juga telah diletakkan di bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengawal perebakan jangkitan ke kawasan lain,” katanya.

Bagi Kluster Sungai Durin, ia merupakan satu kluster komuniti yang dikesan di sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Durin, Sibu yang melibatkan perkumpulan beberapa penduduk rumah panjang tersebut sempena malam menjelang sambutan Hari Gawai pada 31 Mei lalu.

Sejumlah 52 individu telah disaring dan 22 kes telah dikesan positif termasuk kes indeks dan 30 kes negatif.

Kesemua kes positif ini telah dirujuk ke Hospital Sibu dan dimasukkan ke Hospital Sibu dan PKRC di Daerah Sibu bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

“Rumah panjang tersebut juga telah diletakkan di bawah arahan PKPD bagi mengawal perebakan jangkitan ke kawasan lain,” katanya.

Sementara, tiga kluster ditamatkan hari ini iaitu Kluster Abok Bon, Subis, Kluster Ulu Anap, Tatau dan Kluster Singgahsana Lodge, Kuching setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam
tempoh 28 hari melibatkan kluster ini.

Justeru, jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 77 kluster, dengan sebanyak 13 kluster telah merekodkan 89 penambahan kes baharu manakala 64 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

Suara Sarawak