Empat kluster baharu, empat kluster tamat hari ini.

KUCHING: Empat kluster baharu Covid-19 diisytiharkan hari ini melibatkan kluster tempat kerja dan kluster komuniti.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ia adalah Kluster Jalan Usaha Jaya, Kluster Kampung Taba Sait dan Kluster Jalan Tabuan Tranquility di Kuching, manakala Kluster Lorong Perlis Empat di Miri.

“Kluster Jalan Usaha Jaya membabitkan sejumlah 13 individu positif dan merupakan kluster tempat kerja melibatkan pergerakan sosial dalam asrama kediaman pekerja sebuah kilang elektronik.

“Kluster Kampung Taba Sait pula merupakan kluster komuniti hasil kontak rapat penduduk di Kampung Taba Sait, Skim Penempatan Semula Bengoh dengan sejumlah 10 kes positif,” kata JPBN dalam kenyataan hari ini.

JPBN memaklumkan Kluster Jalan Tabuan Tranquility juga kluster tempat kerja iaitu sebuah restoran makanan dan sebanyak 13 kes positif.

“Sementara, Kluster Lorong Perlis Empat merupakan kluster komuniti melibatkan kuarters pekerja sebuah syarikat yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sebanyak 33 kes positif,” jelas JPBN.

Dalam perkembangan sama, JPBN berkata sebanyak empat kluster diisytiharkan tamat iaitu Kluster Jalan Stadium Negeri, Kluster Taman Sourabaya Indah, Kluster Jalan Jambatan Gantung di Kuching di Kluster Sungai Majau di Kanowit.

Suara Sarawak