Empat kluster baharu, tiga di Tatau, satu Kuching

KUCHING: Sebanyak empat kluster baharu dilaporkan di Sarawak hari ini dengan tiga daripada di Tatau dan satu di Kuching.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), ia adalah Kluster Kampung Kolong 2 di Kuching, manakala di Tatau merupakan Kluster Pekan Tatau Baru, Kluster Sungai Kakus dan Kluster Semanok.

“Kluster Kampung Kolong 2 melibatkan kluster komuniti yang berpunca daripada pergerakan sosial dan aktiviti ziarah semasa Hari Raya dan sudah mencapai generasi keempat dengan 36 kes dikesan positif,” kata JPBN dalam kenyataan, hari ini.

Tambah JPBN, tiga kluster di Tatau adalah kluster tempat kerja iaitu dua ladang kelapa sawit dan satu kilang papan lapis serta telah merebak melalu pergerakan sosial dan kontak rapat.

Dalam perkembangan sama, JPBN berkata Kluster Sungai Rayah, Meradong diisytiharkan tamat semalam, menjadikan sebanyak 80 kluster Covid-19 masih aktif di Sarawak.

JPBN turut memberitahu sebanyak 29 daerah di Sarawak masih berstatus merah, jingga (3), kuning (8) dan tiada daerah zon hijau.

“Daerah Lundu telah bertukar ke status jingga daripada status kuning, Telang Usan pula bertukar ke status merah setelah merekodkan 43 kes jangkitan tempatan,” kata JPBN.

Suara Sarawak