ARTIKEL

Pix1 MENJAWAB... Saifuddin ketika menjawab pertanyaan Takiyuddin di Dewan Rakyat, hari ini. (FOTO: JaPEN)

Empat lapangan terbang dilengkapi autogate baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) bakal menjadi antara empat lapangan terbang utama yang akan dipasang sistem pintu automatik atau autogate menggunakan kod QR.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pelaksanaan sistem ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ini telah menunjukkan keberkesanan, justeru kerajaan merancang untuk memperluaskannya ke lapangan terbang lain.

“Sebagai langkah seterusnya, autogate kod QR ini akan dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching (KIA) dan Langkawi bagi memastikan kelancaran pergerakan di pintu masuk utama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin meminta penjelasan mengenai keberkesanan tempoh percubaan sistem pelepasan imigresen menggunakan kod QR untuk rakyat tempatan yang bermula Januari 2025 di 40 lorong khas Terminal Satu dan Terminal Dua KLIA, bagi menangani isu kesesakan di pintu masuk negara.

Jelas Saifuddin, sistem pelepasan imigresen semakin efisien dengan penggunaan MyBorderPass, apabila hampir 800,000 rakyat Malaysia telah mendaftar sejak ia dilancarkan pada 1 Januari lalu.

Katanya, sistem pintu automatik yang diperkenalkan di KLIA 1 dan KLIA 2 telah menunjukkan kejayaan dalam mempercepatkan proses keluar masuk penumpang.

*”Berdasarkan data, 786,603 rakyat Malaysia telah memuat turun aplikasi MyBorderPass dan sejak pelaksanaannya, 25 peratus daripada pengguna di KLIA 1 dan KLIA 2 menggunakan autogate kod QR, berbanding 60 peratus dengan autogate pasport dan 15 peratus melalui kaunter manual.

“Purata masa untuk melepasi autogate kod QR hanya lima saat, jauh lebih pantas berbanding autogate pasport (15 saat) dan kaunter manual yang bergantung kepada panjang barisan,”* ujarnya.

Pelaksanaan sistem ini menjadi keutamaan kerana Malaysia bakal menjadi tuan rumah hampir 400 mesyuarat peringkat ASEAN tahun ini, melibatkan pegawai kanan, menteri serta ketua-ketua negara.

Selain itu, langkah ini juga sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, apabila peningkatan jumlah pelancong dijangka memerlukan sistem imigresen yang lebih cekap.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU