Empat lelaki bertopeng pecah rumah di Bau

BAU: Empat lelaki bertopeng melarikan barang peribadi pemilik rumah di Jalan Bau Tondong pada jam 2.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, pemilik rumah dan adiknya sedang tidur di dalam bilik dikejutkan dengan kehadiran empat lelaki bertopeng dan berpakaian gelap.

Kata Poge, salah seorang daripada kumpulan perompak bersenjatakan parang mengarah dua orang mangsa untuk tidak memandang ke arah mereka malah mengancam untuk membunuh mangsa.

Katanya, mangsa diikat pada bahagian kaki, tangan dan mulut menggunakan tali dan adiknya diikat menggunakan kain.

“Kedua-dua mangsa berjaya meleraikan ikatan dan mendapati wang tunai berjumlah RM1,000, tiga telefon pintar dan sebuah kereta Honda City dilarikan.

“Suspek dipercayai masuk melalui pintu bahagian belakang dapur yang dipecahkan,”katanya.

Poge berkata, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan terus membuat laporan polis di Balai Polis Bau.

Menurut beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Keadaan rumah mangsa yang diselongkar oleh kumpulan lelaki bertopeng di Jalan Bau Tondong.

 

Laci milik mangsa diselongkar oleh lelaki bertopeng.