Empat lelaki pecah masuk pejabat ditangkap

BINTULU: Jabatan Siasatan Jenayah dan Pencegahan Jenayah Komuniti (JSJPJK) berjaya menyelesaikan satu kes pecah pejabat sebuah syarikat dalam tempoh kurang 24 jam dengan tertangkapnya empat suspek lelaki tempatan dalam lingkungan umur 22 hingga 31 tahun pada Rabu lalu.

Mengesahkan perkara tersebut, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata kesemua suspek ditahan pada hari sama sekitar 1.40 petang di sebuah rumah tumpangan bajet di kawasan pasar lama Bintulu.

Pihak polis, katanya, menyita sebuah kereta jenis Perodua Kancil dari salah seorang suspek yang dipercayai digunakan oleh suspek menjalankan kegiatan jenayah mereka.

Turut dirampas suspek lima unit telefon bimbit, sebungkus duit syiling, pelbagai jenis kunci, kad bank, pelbagai resit dan CCTV dipercayai milik syarikat yang dipecah masuk,ujarnya.

Beliau berkata, sebelum itu pada hari sama sekitar jam 9.47 pagi, polis menerima satu laporan dari kerani akaun sebuah syarikat bahawa pejabat tempatnya bekerja dipecah masuk pada jam 8.45 pagi.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati sebuah perakam kamera litar tertutup (CCTV) dan kunci pintu belakang pejabat dilaporkan hilang,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Balai Polis Pusat Bintulu hari ini.

Kesemua suspek, kata Zulkipli lagi, ditahan reman sehingga 26 Februari sambil memberitahu ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk pejabat.

Jika disabit salah, kesemua suspek berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun.

Suara Sarawak