Empat lelaki samun suami isteri bersenjatakan parang

KUCHING: Sepasang suami isteri menghadapi detik cemas disamun empat lelaki bersenjatakan parang di kediaman mereka kawasan Taman Lotak Wira, Jalan Stephen Yong, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 5.15 pagi melibatkan mangsa, suami isteri masing-masing berusia 38 dan 30 tahun.

Menurutnya, kedua-dua mangsa ketika kejadian telah diikat oleh suspek di pergelangan kaki dan tangan menggunakan tali nilon manakala mata dan mulut ditutup dengan tuala hijau.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek telah melarikan beberapa barang kemas, dua buah kereta jenis Toyota Altis serta dua buah telefon bimbit milik mangsa.

“Identiti keempat-empat suspek masih disiasat berikutan ketika kejadian kesemua mereka memakai penutup muka serta sarung tangan,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Aidil, hasil semakan Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) mengesahkan kesemua suspek telah memasuki rumah berkenaan melalui tingkap tandas di tingkat atas rumah dengan menjadikan pagar besi luar rumah sebagai tangga.

Tambahnya, suspek turut menggunakan satu unit tong gas untuk memecahkan bilik tidur mangsa.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek menggunakan bahasa Malaysia untuk berkomunikasi dengan mangsa ketika kejadian.

Tegas Aidil, pasukan Cawangan D9 Ibu Pejabat Kontinjen bersama pihak Forensik daripada (IPK) hadir bagi membantu siasatan manakala pasukan K9 turut dimaklum.

Ujarnya, operasi bagi mengesan kesemua suspek kini masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak