Empat maut, dua cedera akibat kereta bertembung lori

SRI AMAN: Empat maut dan dua lagi cedera parah setelah kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya bersama sebuah lori di KM52 Jalan Sri Aman-Sarikei, sekitar 1:52 pagi tadi.

Pemandu Mixzezly Herry dan tiga lagi penumpang iaitu Roman Ensalit, Agustine Rentap Didi dan Dunstan Empawie disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

Sementara dua lagi penumpang iaitu Hail Sumping dan Larry Jelapang dilaporkan cedera parah, kini berada di hospital.

Kesemua mereka berasal dari Engkilili.

Sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan difahamkan lelaki berusia 51 tahun itu sudah dibawa ke Balai Polis Sri Aman untuk keterangan lanjut.

Perkara tersebut disahkan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman.

Menurut polis, mereka masih menyiasat lanjut kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Proses bedah siasat terhadap semua mangsa yang meninggal dunia akan dilakukan pagi ini.