KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan empat nelayan warga Indonesia kerana menangkap ikan secara haram di perairan Sarawak.
Pengarah Maritim Sarawak Mohd Khairi Abd Aziz berkata penahanan dilakukan kira-kira jam 11.35 pagi, 23 Julai lalu di kedudukan 101 batu nautika barat laut Tanjung Sirik.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh empat kru warga Indonesia, termasuk seorang nakhoda.
“Siasatan awal mendapati vesel terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata vesel bersama empat kru terbabit telah diiring ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), di sini sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Justeru, Mohd Khairi menegaskan, pihaknya akan terus mempergiat operasi rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram serta sebarang perlanggaran undang-undang maritim demi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kelestarian sumber marin negara sentiasa terpelihara.
Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya komuniti maritim agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.




