KOTA SAMARAHAN: Empat Pasukan Tempur Perubatan Vaksinasi (CMVT) akan diatur gerak secara serentak bermula 18 hingga 27 Julai depan bagi menjalankan proses pemberian vaksin di kawasan pedalaman negeri ini.
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini Limbang, Kapit dan Sibu dikenal pasti antara tempat untuk proses pemberian dan suntikan vaksin dijalankan.
Menurutnya, penubuhan pasukan itu bagi memastikan proses pemberian vaksin kepada penduduk pedalaman lebih mudah berikutan kesukaran dialami oleh mereka untuk mendapatkan vaksin yang jauh dari kediaman mereka.
“Untuk tempat yang sukar dilalui, kita akan hantar vaksin menggunakan khidmat udara iaitu penerbangan (helikopter), jalan sungai dan perkhidmatan trak bagi jalan balak.
“Apa-apa sahaja yang ada di kawasan perkampungan di pedalaman seperti dewan sekolah, dewan awam akan dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin manakala kaedah untuk mendirikan khemah dan sebagainya juga akan digunakan.
“Pasukan CMVT terdiri daripada pegawai perubatan, paramedik, pegawai kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam sidang media yang dijalankan di Kem Muara Tuang selepas melakukan lawatan terhadap proses pemberian vaksin secara pandu lalu di kem berkenaan baru-baru ini.
Menurutnya, pergerakan pasukan tersebut akan dilakukan pada 20 Jun ini bermula dari Kuching ke Miri sebelum menuju ke Ba’kelalan pada 21 Jun.
Seramai 734 individu akan menerima suntikan vaksin yang akan dijalankan di Dewan Masyarakat Buduk Nur Ba’kelalan. “Setakat ini penambahan lokasi pemberian vaksin di kawasan pedalaman turut ditambah merangkumi kawasan Kapit dan Bario,” tambahnya lagi.