Empat penagih dadah ditahan

BAU: Empat penganggur ditahan ketika sedang menghisap dadah di sebuah pondok terbiar berhampiran Jalan Gua Angin, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon menerusi satu kenyataan mengesahkan keempat-empat suspek dicekup hasil serbuan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Dadah Bau sekitar jam 12 tengah hari.
Menurutnya, kesemua suspek merupakan warga tempatan masing-masing berusia lingkungan 23 hingga 47 tahun.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mengesahkan keempat-empat suspek positif dadah.
“Pemeriksaan lanjut turut menjumpai dua paket plastik lutsinar berisi kristal jernih disyaki dadah jenis syabu terletak di bawah katil lipat di dalam pondok tersebut.
“Kesemua dadah yang dijumpai itu dianggarkan seberat satu gram dan bernilai RM200,” katanya.
Poge pada masa sama turut mendedahkan tiga daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau Di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ujarnya, kes disiasat Di Bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.



Suara Sarawak