Empat penganggur positif dadah

BAU: Empat penganggur dicekup di Kampung Sungai Pinang kerana terlibat dalam kegiatan salah guna dadah.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, kesemua suspek ditahan menerusi dua pemeriksaan berasingan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, hari ini.

Katanya tangkapan pertama dilakukan sekitar 9.15 pagi dengan seorang lelaki berusia 24 tahun ditahan di sebuah rumah.

“Pemeriksaan tidak menemukan sebarang dadah, namun saringan air kencing mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala, Poge berkata tangkapan kedua dibuat di sebuah rumah berasingan kira-kira 9.45 pagi, dengan menahan tiga lelaki berusia 22, 27 dan 31 tahun.

Menurut beliau, pemeriksaan turut menjumpai dadah jenis syabu seberat 5.25 gram, dianggarkan bernilai RM550.

“Kesemua suspek juga didapati positif dadah,” katanya.

Poge berkata, semua suspek akan dipohon reman serta kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Suara Sarawak