MUKAH: Dun Tellian bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila calon GPS , Royston Valentine akan dicabar tiga calon parti pembangkang pada PRN-12 Sarawak.
Tiga calon berkenaan ialah Sait Junaidi, 57, dari PSB Mohd Arwin Lim Abdullah, 34, (PKR) dan Zainuddin Budug, 56, (PBK).
Kesemua mereka hadir di pusat penamaan calon, Dewan Persidangan, Menara Pehin Setia Raja, di sini, hari ini.
Calon PKR Mohd Arwin Lim Abdullah tiba seawal jam 7.55 pagi bersama-sama pencadang Lila Gume dan penyokong Norawie Lusang.
Diikuti Royston Valentine yang hadir pada jam 8.11 pagi dengan mengenakan baju batik hitam bermotifkan Melanau Terendak Hitam bersama-sama pencadang dan penyokong Kaunselor Jay Keram serta Anderson Kalong Pandong.
Seterusnya, calon PBK Zainuddin Budug pada jam 8.23, calon PSB Sait Junaidi 8.25 pagi.
Pada PRN-11, Dun Tellian menyaksikan saingan dua penjuru dan dimenangi Yussibnosh Balo dengan majoriti undi 4,421 mengalahkan Hasni Yahya (PKR) yang hanya sekadar membawa pulang 666 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN-12 Sarawak, manakala undi awal pada 14 Disember 2021.