Empat rumah panjang terima sumbangan air mineral

SARIKEI: Prihatin terhadap rakyat ditimpa kemarau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menghulurkan sumbangan air mineral kepada penduduk empat buah rumah panjang di kawasannya, semalam.

Rumah panjang berkenaan ialah Rumah Sami Badi, 10 pintu, Rumah Juing Embuyang, lima pintu, Rumah Udol Jana (10 pintu) dan Rumah Ubok Sejang (10 pintu).

Sumbangan disampaikan oleh pegawainya dari Pusat Khidmat N.45 Repok.

Huang berkata, sumbangan bertujuan meringankan beban rakyatnya yang terjejas akibat cuaca kering dan panas berpanjangan itu.

“Saya amat memahami kesukaran penduduk mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian mereka.

“Justeru, keperluan terhadap bekalan air amat tinggi terutama pada musim kemarau sekarang,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Beliau berkata, bantuan seumpama itu tidak akan dihentikan sebaliknya diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Saya berharap keadaan akan pulih dengan segera supaya rakyat dapat menikmati air seperti sedia kala,” katanya.