Empat saspek berjaya ditahan terlibat kes pecah rumah, curi motosikal

KUCHING: Empat individu terlibat dalam kumpulan kegiatan curi motosikal dan pecah rumah sekitar kawasan Kuching ditahan dalam hasil operasi serbuan polis di Kampung Samariang Pinggir dan Taman Malihah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, operasi tersebut melibatkan seramai 22 anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Kota Samarahan, Task Force Padawan dan JSJ IPD Kuching sekitar jam 3 pagi sehingga 5.30 pagi.

Menurutnya, Op Pintu dan Op Lejang Bersepadu dilakukan bagi mengesan kumpulan curi motosikal serta kumpulan pecah rumah di sekitar Kuching dan Padawan.

“Tangkapan pertama dilakukan terhadap dua suspek daripada kumpulan curi motosikal berusia 27 dan 35 tahun yang mengaku terlibat dalam kejadian melupuskan tujuh buah motosikal curi.

“Seterusnya pasukan berjaya menahan dua suspek lelaki berusia 22 dan 44 tahun yang mengaku terlibat dalam sembilan kes pecah rumah di kawasan Malihah Matang,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

CURI… Motosikal curi ditemui berada di dalam rumah tempat suspek ditangkap

Tambahnya, antara barang kes ditemui adalah sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang telah dilaporkan hilang di Balai Polis Padungan.

Susulan itu, kata Aidil, usaha mengesan beberapa lagi suspek kedua-dua kumpulan ini masih giat dijalankan.

“Hasil siasatan mendapati kumpulan curi motosikal terdiri daripada empat individu, di mana dua daripadanya sudah ditahan, manakala kumpulan pecah rumah ada tiga lagi suspek masih bebas,” dedahnya.

Ujarnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak