Empat sekawan ditangkap berjudi

BAU: Empat lelaki tempatan dicekup polis ketika leka bermain judi Gin Rummy di dalam sebuah bilik sewa tidak bernombor di Redeem Centre Jalan Singai semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata bilik terbabit diserbu hasil tindakan Ops Limau oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah sekitar jam 12.15 malam.

Menurutnya keempat-empat suspek itu ditemui duduk di sebuah meja ketika serbuan dan dipercayai sedang menjalankan kegiatan judi sebelum berhenti apabila melihat kedatangan polis.

“Kesemua suspek masing-masing berusia lingkungan 53 hingga 64 tahun kini telah ditahan bersama barangan kes termasuk dua set daun terup berwarna merah dan sejumlah wang tunai.

“Turut dirampas meja bulat berlapik kain berwarna merah dan empat buah kerusi plastik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua lelaki terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau berdasarkan semakan rekod polis yang dilakukan.

Susulan itu katanya kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kini masih dalam siasatan lanjut.

BARANG…Hasil pemeriksaan menemui beberapa barangan kes judi termasuk daun terup dan sejumlah wang tunai yang digunakan untuk perjudian
LOKASI…Bilik sewa di mana empat lelaki ditahan bermain judi Gin Rummy