Empat sekawan tawan ikan pari 280 kilogram

LUNDU: Empat nelayan tempatan mengambil masa sejam setengah untuk menaikkan ikan pari daun seberat 280 kilogram dengan lebar empat meter bersamaan berat badan lima orang dewasa di Muara Sungai Lundu di sini, petang semalam.

Nelayan Azeri Hipni, 42, dari Kampung Stunggang Lundu ketika dihubungi Suara Sarawak berkata, dia bersama-sama tiga rakannya memasang pukat di sungai berkenaan awal pagi semalam sebelum menjerat pari gergasi itu.

“Kami mengambil masa sejam setengah bertarung dengan pari berkenaan dan akhirnya ia tewas sebelum dibawa ke Jeti Nelayan Lundu,” katanya dan menambah, mereka biasa mendapat ikan pari bersaiz besar tetapi ini kali pertama pari gergasi itu terjerat dalam pukat mereka.

Azeri menambah, dia dan rakanrakan penat kerana ikan itu terlalu besar tetapi seronok kerana ia dianggap rezeki yang tidak diduga menjelang Ramadan.

Lundu yang kira-kira 80 minit perjalanan darat dari pusat bandar Kuching dihuni sekitar 36,000 penduduk.

Daerah Lundu antara yang paling indah di Sarawak dengan kehadiran gunung-ganang yang hijau, air terjun, pantai-pantai yang indah, air laut yang jernih dan biru, serta pulau kecil di sepanjang pesisiran pantainya.

Bagaimanapun, sejarah asal usul nama Lundu tidaklah begitu jelas. Ramai yang percaya bahawa daerah tersebut mendapat nama dari Sungai Lundu yang terdapatnya ikan lundu atau nama saintifiknya mystus nigriceps.

Batang Kayan merupakan sungai terbesar di Lundu tetapi tiada bukti bahawa kaum Kayan menetap di daerah itu. Sungai Lundu mengalir dari kawasan pergunungan Gading ke Batang Kayan.