Empat sekolah di Mukah dicadang tutup, 19 hingga 23 April

MUKAH: Empat buah sekolah di Mukah dicadangkan untuk ditutup buat sementara waktu susulan daripada beberapa kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pelajar di sekolah itu.

Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr. Huzaimah Husin berkata, empat buah sekolah tersebut termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers, SMK Mukah, Sekolah Kebangsaan (SK) Mukah dan Sekolah Kebangsaan (Agama) Majlis Islam Sarawak, Mukah.

“Sehubungan itu, pihak kami mencadangkan penutupan sementara sekolah-sekolah tersebut dari tarikh 19 hingga 23 April ini bagi proses sanitasi.

“Selain itu, ia membolehkan pihak kami menjalankan aktiviti pengesanan kes secara aktif untuk mengesan kontak rapat kes positif dan saringan bergejala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut mengenai perkara itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 di Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah di talian 084-873302.

Suara Sarawak