Enam bahagian jadi pilihan

ENAM bahagian menjadi pilihan skuad Kuching City FC untuk program siri jelajah mereka bulan Disember depan.

Bahagian terbabit ialah Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan memberitahu, pihaknya pada mesyuarat sebelum ini memuktamadkan pemilihan enam bahagian tersebut.

Menurut Iswandi, bermula dari Sri Aman (8 Disember), Sarikei (10 Disember), Sibu (12 Disember), Mukah (15 Disember), Bintulu (18 Disember) dan Miri (21 Disember). “Pemain akan turut menjalani latihan disusuli aksi persahabatan menentang pasukan pilihan di setiap bahagian yang akan dikunjungi,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau menambah, siri jelajah pasukan dengan jenama baharu (Kuching City FC) ke semua bahagian itu kelak akan disertai dua bintang import dari Jepun, Yuta Suzuki dan Yuki Tanigawa.

“Dua pemain import dari Brazil (Bryan Jones Anicezio & Hudson Dias De Jesus) sudah kembali ke negara asal mereka untuk menyambut Krismas.

“Hanya Yuta Suzuki dan Yuki Tanigawa sahaja bersama dalam siri jelajah nanti,” tambah Iswandi lagi.

Iswandi berharap pihaknya akan dapat menemui bakat baharu sepanjang tempoh dua minggu program sirj jelajah itu dijalankan.

“Kita percaya akan ada bakat baharu yang dikenal pasti pada setiap perlawanan di enam bahagian terbabit.

“Ia sekali gus dapat diserap ke dalam tiga skuad utama (Kuching City FC, Piala Presiden Kuching City & Piala Belia Kuching City),” jelasnya lagi.

Pemain skuad Kuching City FC akan kembali menyambung sesi latihan mereka pada 2 Disember nanti selepas diberi pelepasan cuti selama seminggu.

Suara Sarawak